Jumaat, Ogos 21, 2009

JANGAN JADI "KACANG LUPAKAN KULIT"


Dalam sebuah majlis, seorang usahawan berbangsa Cina yang juga bergelar Tan Sri sedang ditemuramah oleh seorang wartawan. Duduk berdekatannya adalah 2 orang jurutera, anak beranak berketurunan India yang bekerja dengan syarikat Tan Sri tersebut. Berikut adalah perbualan mereka,
Tan Sri: Kerajaan perlu bertindak adil dalam pengagihan kek ekonomi negara. Tidak boleh ada diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Kontrak antara orang Melayu dan bukan Melayu mesti diberikan sama rata demi keadilan. Lagipun bangsa kami banyak menyumbang kepada kemajuan negara walaupun kami digelar sebagai kaum pendatang. Setelah bersusah payah
semenjak sebelum merdeka, maka wajarkah kami dinafikan hak sebagai warganegara. Orang Melayu perlu lebih berkompromi dengan kaum lain untuk maju. Liberalisasi perlu dilaksanakan dengan meluas dalam semua sektor demi mencapai kesamarataan antara kaum.

Wartawan: Tan Sri, boleh saya tahu sudah berapa lama 2 orang jurutera ini bekerja dengan Tan Sri?

Tan Sri: Oh... sudah lama. Praba ni dah bekerja dengan saya hampir 30 tahun sejak syarikat ni ditubuhkan lagi. Malah anaknya pun sekarang bekerja dengan saya lebih 10 tahun. Mereka ini adalah pekerja saya yang paling berdedikasi dan banyak menyumbang kepada kemajuan syarikat.

Wartawan: Kalau begitu, apa kata Tan Sri berikan sebahagian saham syarikat ni kepada mereka berdua. Lagipun mereka sudah lama bekerja dengan Tan Sri, malah banyak menyumbang kepada syarikat sepertimana kata Tan Sri tadi.

Tan Sri: Eh.. mana boleh! Ini syarikat saya. Lagipun saya dah bayar gaji yang mahal kepada mereka berdua dan saya tak pernah halang pun jika mereka nak kumpul harta. Mana boleh senang-senang saya nak bagi saham syarikat saya pada mereka.

Wartawan: Macam tu jugalah perasaan Melayu. Tanah ini asalnya milik orang Melayu. Milik raja-raja Melayu. Lepas tu orang bukan Melayu macam Tan Sri pulak nak mintak hak sama rata dengan alasan kerana telah banyak menyumbang.. Tan Sri rasa wajar atau tidak permintaan tu?

Tan Sri: ............ ......... ......... ......... ........

Kisah di atas merupakan sedutan daripada kisah benar yang berlaku dalam sebuah majlis perasmian kilang di Gemas, Negeri Sembilan.

Khamis, Ogos 20, 2009

PERSIDANGAN ANTARABANGSA BAHASA MELAYU BAHASA DUNIA



Kerajaan Negeri Johor akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia pada 28 hingga 30 September 2009 bersamaan 9 - 11 Syawal 1430 Hijrah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Persidangan ini merupakan selenggaraan bersama Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Fakulti Bahasa UPSI, Yayasan Warisan Johor dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Persidangan ini bertujuan mengumpulkan dan mempertemukan pakar bahasa di peringkat antarabangsa untuk menggembleng tenaga bagi mencapai matlamat "Bahasa Melayu Bahasa Dunia". Selain itu, persidangan ini dapat mengenal pasti masalah dan cara terbaik untuk melaksanakan "Bahasa Melayu Bahasa Dunia" disamping dapat mewujudkan jaringan Institusi Pengajian Melayu Sedunia.

Persidangan yang berteraskan tema "Bahasa Melayu Bahasa Dunia" disamping beberapa subtema lain iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Antarabangsa, Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diaspora, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Penyebaran Ilmu, Bahasa Melayu dalam Pendidikan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa PBB, dan Bahasa Melayu dalam Cabaran Gobal.

Dijangkakan tokoh-tokoh besar dalam dunia Bahasa Melayu seperti Tan Sri Prof. Emeritus Dato' Pendita Hj. Ismail Hussein, Prof. Emeritus Dato' Dr. Asmah Hj. Omar, Prof. Dr. Abdul Hamid Mahmood, Dato' Dr. Hassan Ahmad dan juga beberapa pemakalah dari luar negara seperti Prof. Madya Dr. Victor Pogadev (Rusia), Prof. Madya Dr. Tantiana Denisova (Rusia), Prof. Wu Zong Yu (China), Prof. Madya Dr. kyoko Funada (Jepun), Prof. Madya Dr. Paitoon Chaiyanara serta ramai lagi akan hadir membentangkan kertas kerja mereka.

Persidangan selama tiga hari ini akan dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Johor disamping beliau akan menyampaikan Ucaptama pada persidangan ini. Semoga dengan kehadiran majlis ilmu seperti ini kita semua mendapat manfaat dan membuktikan bahawa Bahasa Melayu bersifat global dan telah tersebar luas sebagai bahasa ilmu yang bertaraf dunia.

*Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi En. Mohd Hafizan Amiti di talian 03-79677243 atau alamat emel: hafizan1985@gmail.com / peabad2009@gmail.com