Akademi Pengajian Melayu (APM) Akademi Pengajian Melayu (APM) telah ditubuhkan pada tahun 1990 hasil daripada Laporan Lembaga Pengajian Mengenai Akademi Pengajian Melayu. Pada masa itu, Akademi Pengajian Melayu memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan, penerbitan dan pendokumentasian iaitu sebagai pelengkap kepada fungsi yang dijalankan oleh Jabatan Pengajian Melayu (JPM) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Pada 14 Julai 1995, Jabatan Pengajian Melayu dan Akademi Pengajian Melayu bergabung dengan rasminya untuk menjadi satu institusi akademi di Universiti Malaya. Kegiatan utama APM terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Bahagian Pengijazahan dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan. Setiap bahagian pula mempunyai jabatan-jabatannya sendiri. Jabatan-jabatan dalam Bahagian Pengijazahan ialah Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Jabatan Linguistik Melayu, Jabatan Kesusasteraan Melayu dan Jabatan Kesenian Melayu. Jabatan-jabatan dalam Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan ialah Jabatan Penyelidikan, Jabatan Dokumentasi dan Jabatan Penerbitan.
Misi penubuhan Akademi Pengajian Melayu adalah seperti berikut :
Menjadi pusat kecemerlangan Pengajian Melayu dalam penyebaran dan pengayaan ilmu penyelidikan, pendokumentasian, penerbitan, dan kegiatan-kegiatan akademik yang lain dan secara khusus meletakkan sumbangan Islam sebagai asas penting demi memberikan sumbangan kepada negara dan kesejahteraan sejagat.
Objektif penubuhan APM adalah seperti berikut :
- Mencari, mentakrif dan mengembangkan ilmu berdasarkan kebenaran yang bersendikan akidah Islam.
- Melahirkan ilmuan Pengajian Melayu yang cemerlang dan berjaya secara duniawi dan ukhrawi.
- Menyediakan graduan dan ilmuan yang cekap, berinovatif, beriltizam, beradab, beragama, berwawasan dan peka terhadap perkembangan ilmu agama dan ilmu keduniaan.
- Mempertingkatkan serta melengkapkan usaha-usaha pendokumentasian bahan-bahan ilmu berhubung dengan Pengajian Melayu dan memasyarakatkan bahan-bahan tersebut.
- Menjadi pusat kegiatan penyelidikan Melayu yang utama dan terpenting di dunia. Merakam, mengumpul, menyimpan, dan memasyarakatkan segala bentuk data tentang Pengajian Melayu.
- Menjadi pusat kegiatan Pengajian Melayu yang terunggul di dunia dengan kegiatan seminar, persidangan, dan kegiatan akademik lain yang berhubung dengan orang Melayu.
Untuk mencapai objektif-objektif di atas, jabatan-jabatan yang terdapat di APM telah ditubuhkan dengan arah tujuannya yang tersendiri tetapi bersifat intergratif dan saling melengkapi.
JABATAN-JABATAN AKADEMIK DI AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
Pada masa ini terdapat lima Jabatan Pengajian Pengijazahan yang mengendalikan kursus-kursus pada peringkat ijazah dasar iaitu :
- Jabatan Bahasa Melayu
- Jabatan Sosio-Budaya Melayu
- Jabatan Linguistik Melayu
- Jabatan Kesusasteraan Melayu
- Jabatan Kesenian Melayu
Jabatan Bahasa Melayu
Jabatan Bahasa Melayu menyediakan kursus-kursus yang lebih menumpukan pengajian kepada korpus bahasa Melayu baku iaitu tentang tatabahasa normatif bahasa Melayu, bahasa Melayu lisan, statistik bahasa Melayu, sejarah perkembangan bahasa Melayu, peristilahan bahasa Melayu, laras bahasa Melayu, pemaknaan bahasa Melayu, tatabahasa wacana bahasa Melayu, pengajaran bahasa Melayu, perkamusan bahasa Melayu, bahasa Melayu dan masyarakat, kesantunan bahasa Melayu, dan keanekaan bahasa Melayu.
Jabatan Sosio-Budaya Melayu
Jabatan Sosio-Budaya Melayu menumpukan pengajian kepada masyarakat dan budaya Melayu iaitu tentang etnografi Melayu, teori kajian masyarakat dan budaya, kekeluargaan, agama dan kepercayaan, perubatan dan kesihatan, hukum adat, pemikiran masyarakat Melayu dalam era globalisasi, budaya popular Melayu, seni budaya Melayu, politik dan ekonomi Melayu, identiti Melayu, gender, masyarakat dan budaya, organisasi dan proses-proses sosial, hubungan etnik dan warga tua dalam masyarakat Melayu.
Jabatan Linguistik Melayu
Jabatan Linguistik Melayu menumpukan pengajian kepada disiplin linguistik global dan bahasa-bahasa serumpun Melayu yang terdapat di alam Melayu, iaitu tentang pengantar linguistik dengan tumpuan kepada bahasa-bahasa Austronesia, sejarah linguistik, fonologi, morfologi, sintaksin, sosiolinguistik, dialektologi, leksikografi, psikolinguistik, linguistik bandingan, linguistik sejarawi dan sebagainya.
Jabatan Kesusasteraan Melayu
Jabatan Kesusasteraan Melayu menumpukan pengajian kepada aspek berkaitan dengan seni sastera Melayu; iaitu tentang sejarah kesusasteraan, teori kesusasteraan, kaitan antara sastera, falsafah dan estetika, filologi, sosiologi sastera, metodologi, penyelidikan sastera, pengurusan dan pemasaran sastera, sastera lisan Melayu, karya klasik agung Melayu, cerpen Melayu, puisi Melayu moden, penulisan kreatif, sastera Melayu dalam perbandingan, tulisan Jawi dalam teks sastera, kesusasteraan Islam (Melayu), kritikan sastera dan sastera Melayu semasa.
Jabatan Kesenian Melayu
Jabatan Kesenian Melayu menumpukan pengajian kepada aspek teoretis dan pragmatis tentang bidang kesenian dengan penumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu Seni Rupa, Seni Persembahan dan Pengurusan Seni. Pengajian ini akan memberi tumpuan kepada keberhasilan bentuk-bentuk seni rupa dan seni persembahan mengikut jenis atau genrenya dengan mengambil kira aspek penghasilan atau proses kreativitinya, nilai estetika, keberhasilannya dan kepentingannya dalam masyarakat Melayu. Pengajian Pengurusan Seni mengutamakan aspek skil dan organisasi kerja serta perancangan bersabit dengan penghasilan seni. Jabatan ini menyedari kepentingan keilmuan pengajian kesenian sebagai suatu proses yang bersifat kreatif, kemahiran, usaha sama, bernilai estetika dan berimpakkan aural, visual dan teknologi.
JABATAN-JABATAN PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN DI AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
Selain lima jabatan pengkhususan tersebut, jabatan-jabatan berikut ditubuhkan bagi mengendalikan dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan penyelidikan, pendokumentasian dan penerbitan.
Jabatan Penyelidikan
Jabatan Penyelidikan menumpukan perhatian kepada penyelidikan dalam bidang-bidang yang sedia ada dalam Pengajian Melayu, bahasa dan Linguistik Melayu, kebudayaan Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Jabatan ini turut memberi penekanan dan penerokaan beberapa bidang utama seperti Sejarah Alam Melayu, Politik dan Ekonomi Melayu, Pemikiran dan Falsafah Melayu, Kesenian Melayu, Pemodenan Masyarakat Melayu, Orang Melayu dalam Konteks Sains dan Teknologi, Agama dan Kepercayaan dalam Masyarakat Melayu, Pengajian Etnik dalam Dunia Melayu dan lain-lain.
Jabatan Dokumentasi
Jabatan Dokumentasi menumpukan kegiatan kepada kerja-kerja pen-dokumentasian yang merupakan satu usaha yang berterusan, selaras dengan prinsip-prinsip ilmiah dan kesarjanaan Pengajian Melayu. Kegiatan ini bercorak menyokong dan meningkatkan taraf kesarjanaan bidang Pengajian Melayu. Pendokumentasian melibatkan kegiatan yang luas yang meliputi pengumpulan manuskrip Melayu, bahan-bahan tradisi lisan Melayu, kumpulan hasil aural dan visual Melayu, bahan-bahan budaya kebendaan, karya-karya sastera Melayu dan Bibliografi Melayu.
Jabatan Penerbitan
Jabatan Penerbitan melengkapi kegiatan-kegiatan penyelidikan dan dokumentasi yang dijalankan. Hasil-hasil penyelidikan, kerja-kerja dokumentasi, kerja-kerja transliterasi teks dan sebagainya diterbitkan untuk dijadikan rujukan kepada semua lapisan ilmuwan terutamanya kepada mereka yang berminat dalam bidang Pengajian Melayu.
hai. .sy dpt temuduga di um dlm bdg pngajian melayu-sosio budaya mlayu. .blh share s0alan yg bkal ditnye?tq. .
BalasPadam