NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYA
DENGAN PELAJAR IJAZAH DASAR
DI DEWAN TUNKU CANSELOR PADA 14 FEBRUARI 2011
Diserahkan oleh:
MAHASISWA, ALUMNI DAN WARGA AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
dan
PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)
BERTARIKH 24 FEBRUARI 2011
____________________________________________________________
Memorandum ini adalah bagi mewakili seluruh warga Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya untuk dikemukakan kepada Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya (selepas ini ditulis sebagai Datuk NC). Ini adalah susulan daripada pertemuan dan taklimat Datuk NC mengenai Raising UM Into The Rank Of Top 100 Universities In The World Within 5 Years bersama-sama pelajar Ijazah Dasar yang telah diadakan pada 14 Februari 2011 (Isnin) bermula pada jam 2.50 petang di Dewan Tunku Canselor (DTC).
Pelajar difahamkan tujuan utama pertemuan dan taklimat tersebut diadakan adalah bagi menjelaskan visi dan aspirasi Universiti Malaya untuk diiktiraf sebagai salah sebuah daripada senarai 100 universiti terbaik di dunia mengikut penilaian QS World University Rankings. Antara kategori yang dinilai ialah Academic Peer Review (40%), Citation Per Faculty (20%), Employer/Recruiter Review (10%), International Students (5%), dan International Faculty (5%). Datuk NC mengesyorkan peranan yang boleh dilaksanakan oleh pelajar Universiti Malaya untuk memberikan sumbangan dalam meningkatkan peratusan bagi kategori-kategori itu.
Dua kategori yang Datuk NC telah beri penekanan ialah International Students (5%) dan Employer/Recruiter Review (10%) dengan saranan supaya para pelajar menguar-uarkan kepada warga dunia supaya memilih Universiti Malaya untuk menyambung pengajian peringkat tinggi. Bagi kategori Employer/Recruiter Review pula, dikemukakan keratan akhbar pada paparan slaid tentang kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi faktor utama pihak majikan/syarikat-syarikat korporat, merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta tidak mengambil graduan tempatan untuk bekerja.
Oleh yang demikian, Datuk NC telah menekankan banyak kali supaya pelajar menguasai bahasa Inggeris agar dapat memberi mata peratusan yang tinggi apabila dinilai oleh majikan/syarikat-syarikat besar yang bertindak sebagai penilai dalam QS World University Rankings. Selain itu, dipaparkan statistik dalam bentuk carta bar yang menunjukkan peratusan pemerolehan pekerjaan selepas enam (6) bulan graduan menerima ijazah mengikut fakulti-fakulti di Universiti Malaya.
Kami dengan ini menegaskan tidak menolak sama sekali penguasaan bahasa Inggeris. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbetulkan yang membawa kepada hujah bagi memorandum ini iaitu:
- Isu Ribuan Graduan Tempatan Gagal Mendapat Pekerjaan Bukan Hanya Kerana Lemah Bahasa Inggeris
Sebagaimana yang telah dinyatakan, Datuk NC telah menunjukkan keratan akhbar pada paparan slaid tentang isu ribuan graduan tempatan gagal mendapat pekerjaan kerana mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Walau bagaimanapun, Datuk NC tidak membuat analisis keratan akhbar itu dengan terperinci, sebaliknya membuat kenyataan umum sahaja. Daripada sudut akademik juga, sumber dan data kajian yang membawa kepada perangkaan yang tertera itu masih banyak dipersoalkan autoritinya. Malah, adalah lebih baik jika Datuk NC mengemukakan dapatan atau hasil kajian khusus atau bersifat mikro mengenai graduan Universiti Malaya sendiri untuk menilai jumlah mereka yang sudah mendapat pekerjaan dan menganggur berbanding sewenang-wenangnya memetik keratan akhbar yang masih dipersoalkan kesahihahannya itu.
Alasan Datuk NC yang menyatakan bahawa tanpa penguasaan bahasa Inggeris, graduan tidak akan mendapat peluang pekerjaan adalah berdasarkan hasil perbincangan antara naib-naib canselor universiti awam seluruh negara dengan wakil pihak korporat, termasuk beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta, antaranya CIMB, Shell, Petronas, dan beberapa lagi. Datuk NC berulangkali mendakwa graduan tempatan kurang mahir berbahasa Inggeris berbanding dengan graduan luar negara tanpa memberikan perhatian kepada aspek-aspek lain seperti kemahiran insaniah serta keterampilan pelajar selain penguasaan bahasa Inggeris sebagai kriteria yang juga tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan pekerjaan.
Perkara yang ingin kami tegaskan di sini ialah tindakan Datuk NC memanggil dua orang pelajar iaitu pelajar dari Pusat Sukan dan pelajar dari Fakulti Undang-undang lantas membandingkan penguasaan bahasa Inggeris mereka dengan seorang pelajar TESL yang naik ke pentas secara sukarela adalah tidak tepat sama sekali. Hal ini kerana pelajar TESL sememangnya mempelajari bahasa Inggeris dan memang wajib baginya tanpa sedikit pun pengecualian untuk mereka menguasai bahasa itu pada tahap yang cemerlang!
Hal ini sudah tentu menampakkan perbezaan kefasihan berbahasa Inggeris antara ketiga-tiga pelajar tersebut. Malahan pengakuan dari pelajar Fakulti Undang-undang pada petang itu bahawa beliau tidak mahir bahasa Inggeris turut mendedahkan bahawa masalah penguasaan itu bukanlah masalah tunggal pelajar Akademi Pengajian Melayu semata-mata. Malahan, ukuran lemah-baiknya penguasaan bahasa Inggeris itu tentu berbeza antara pelajar TESL dengan pelajar dari jurusan lainnya. Walaupun demikian, sumber rujukan pelajar dari semua bidang tetap ada dari sumber berbahasa Inggeris.
Selanjutnya, Datuk NC juga ada menyebut tentang faktor-faktor lain, seperti kemahiran insaniah (soft skills) yang menjadi faktor penentu untuk mendapat pekerjaan. Namun begitu, Datuk NC tidak pula menghuraikan faktor-faktor lain tersebut. Walhal, faktor-faktor itulah juga turut sama atau lebih penting bagi mendapatkan pekerjaan serta bekerja dengan baik. Hal ini terbukti dalam laporan muka depan akhbar Berita Harian bertarikh 15 Februari 2011 yang bertajuk “Doktor Tak Cekap”. Laporan tersebut mendedahkan bahawa lebih 3,000 doktor pelatih lulusan universiti luar negara tidak tahu melakukan pemeriksaan asas seperti memeriksa denyutan jantung atau tekanan darah pesakit sedangkan itu adalah prosedur asas dalam bidang kedoktoran (Rujuk Lampiran 1).
Umum maklum, kelompok pelajar lulusan luar negara tersebut mesti sudah menguasai bahasa Inggeris tetapi mereka masih dipersoalkan kerana penguasaan bahasa Inggeris tidak semestinya membawa maksud pelajar itu juga menguasai bidang ilmu perubatan itu sendiri. Justeru, adalah amat mengecewakan kami apabila Datuk NC dalam sesi taklimat Raising UM Into The Rank Of Top 100 Universities In The World pada petang 14 Februari itu tidak sudah-sudah mengaitkan kelemahan bahasa Inggeris sebagai punca graduan gagal mendapat pekerjaan bukannya penguasaan bidang ilmu masing-masing yang boleh juga diperoleh dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara ini.
2. Paparan Peratusan Pemerolehan Pekerjaan oleh Graduan Universiti Malaya Mengikut Fakulti dalam Tempoh Enam (6) Bulan Selepas Tamat Pengajian Ijazah Dasar
Dalam statistik tersebut, Datuk NC telah menunjukkan peratusan graduan yang mendapat pekerjaan mengikut fakulti dengan APM mendapat peratusan terendah, iaitu sebanyak 54% selepas enam (6) bulan graduan tersebut tamat pengajian peringkat ijazah dasar. Timbul persoalan, kumpulan pelajar mana dan sesi semester berapa yang menjadi responsden survey tersebut? Sejauh manakah ketepatan survey yang dilakukan serta bagaimana sumber data, dan metodologi yang digunakan dalam menganalisis data yang diperoleh daripada survey tersebut?
Perlu ditegaskan, bukan semua syarat dan prosedur permohonan pekerjaan di pihak majikan atau organisasi dilakukan dalam tempoh masa 6 bulan selepas bergraduan. Sebahagian besar graduan termasuk fakulti lain pun hanya ditawarkan pekerjaan selepas tempoh tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan profesion perguruan yang ramai diceburi oleh lulusan Pengajian Melayu.
Setiap tahun graduan APM adalah mereka yang ‘laris’ dalam profesion perguruan dengan tawaran permohonon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selain mendapat tempat dalam pengisian jawatan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam skim perkhidmatan terutamanya kumpulan profesional dan sosial. Tidak kurang juga ramai yang terlibat dalam bidang keusahawanan dengan bekerja sendiri dan meluaskan perniagaan keluarga. Bagi tawaran KPLI misalnya, Datuk NC harus maklum bahawa permohonan dibuka pada awal dan hujung tahun. Graduan pula tidak boleh memohon KPLI selagi tidak mendapat transkrip akhir yang hanya diterima selepas Majlis Konvokesyen yang diadakan sekitar bulan Ogos. Selain itu, graduan APM mendapat peluang untuk menceburi profesion keguruan dengan mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang dibuka tawarannya setahun sekali.
Dapatan yang didakwa survey oleh Datuk NC hanya mengambil kira tempoh 6 bulan. Jadi, jumlah pelajar yang akan mendapat pekerjaan akan bertambah dari semasa ke semasa dengan merujuk kepada pelajar dalam giliran untuk ditemuduga khususnya melalui saluran
3. Memperbetulkan Persepsi tentang Pelajar Pengajian Melayu yang Digambarkan Seolah-olah Berfikiran Sempit dan Menolak Bahasa Inggeris.
Pihak kami difahamkan bahawa sebelum perjumpaan Datuk NC pada 14 Februari 2011 itu, Datuk NC juga telah menyatakan hal dengan statistik yang sama dalam Bengkel Persediaan Calon Pilihan Raya Kampus 2010/11 di Auditorium Kompleks Perdana Siswa.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk NC menganggap APM seolah-olah menolak bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) termasuk semasa berkomunikasi lantas mengaitkan ia sebagai punca ramai graduan APM sukar mendapat pekerjaan. Kenyataan tersebut adalah sangat melampau dan salah sama sekali. Kami pelajar APM tidak pernah menolak apatah lagi membuang bahasa Inggeris. Hal ini dibuktikan dalam Buku Panduan Program Ijazah Dasar Akademi Pengajian Melayu Sesi 2010/2011. Jelas tertera bahawa kelima-lima jabatan, iaitu Jabatan Bahasa Melayu, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Jabatan Kesenian Melayu, Jabatan Linguistik Melayu, dan Jabatan Sosio-Budaya Melayu turut menggunakan sejumlah buku rujukan dalam bahasa Inggeris sebagai rujukan utama (Rujuk Buku Panduan).
Malah, tinjauan kami dalam laman sosial Facebook rasmi milik Datuk NC juga didapati telah bertamu di Fakulti Alam Bina (9 Februari 2011) dan Fakulti Sains (10 Februari 2011) dengan tajuk dan tumpuan yang serupa pada 14 Februari 2011 di DTC.
Pertamanya, mengapa jadual Datuk NC yang awalnya untuk hadir ke APM untuk tujuan yang sama tetapi telah dibatalkan di saat-saat akhir, dan tidak diadakan pula pada masa lain sehinggalah pertemuan dengan pelajar Tahun 1 APM di DTC bersama-sama para pelajar dari fakulti lain?
Kedua, adakah wajar cara penyampaian Datuk NC yang meminta pelajar APM dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) mengangkat tangan untuk mengenal pasti sama ada kami “wujud” atau tidak dalam DTC pada petang 14 Februari itu selepas disebut beberapa kali sebagai fakulti yang “not so good” dan “you have a big problem...” (seperti kenyataan Datuk NC pada kiraan 1 jam 17 minit) kerana paling ramai tidak mendapat pekerjaan dan perlu menguasai bahasa Inggeris? Apa perasaan Datuk NC sendiri jika berada di tempat pelajar yang diremehkan itu?
Seterusnya, pelajar-pelajar APM juga mengikuti kursus bahasa Inggeris (GTEE 1102, GTEE 1103, GTEE1104) tanpa menolak, mencemuh, atau merungut untuk mengikuti kursus wajib universiti tersebut. Kursus-kursus tersebut membantu pelajar untuk membuat rujukan buku-buku berbahasa Inggeris dengan lebih baik dan lebih banyak lagi. Namun, jika benar pihak pentadbiran mahu kami benar-benar menguasai bahasa Inggeris, mengapakah sehingga memorandum ini ditulis APM belum lagi memperoleh Pengajar Bahasa Inggeris seperti yang Datuk NC telah janjikan pada dua (2) tahun lalu? Kedua, mengapakah rayuan dan permohonan APM untuk menambah kelas bagi bahasa Inggeris bagi pelajar Ijazah Dasar tidak dilayan? Dan ketiga, mengapa tidak pihak pentadbiran UM memberi keutamaan dan tempat kepada kami, pelajar APM sebaliknya peluang khas untuk pelajar Perubatan, untuk mendaftar kursus tersebut hingga menimbulkan kekalutan kepada kami semasa proses pendaftaran kursus untuk permulaan semester kedua sesi 2010/2011 Januari lalu?
Kecenderungan Datuk NC membuat perbandingan secara sembrono antara fakulti bukanlah cara seorang ilmuwan yang beradab dan mengiktiraf semua bidang ilmu adalah sama penting. Hal ini juga sama sekali tidak pernah wujud dalam pentadbiran naib-naib canselor terdahulu. Bahkan ada dalam kalangan naib canselor tersebut telah menaikkan atau mengharumkan nama Universiti Malaya di persada dunia dengan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Misalnya, mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob (2003-2005) yang telah berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga Fakulti Pergigian yang diterajui oleh beliau mendapat pengiktirafan antarabangsa dari pertubuhan General Dental Council (GDC) United Kingdom sebagai fakulti yang telah melahirkan graduan pergigian yang terbaik bertaraf dunia. Pengiktirafan tersebut adalah yang pertama dan satu-satunya di Malaysia. Malah, GDC turut memberi tauliah ijazah kedoktoran pergigian yang menggunakan bahasa ibunda, seperti di Itali, Sepanyol, Perancis, Belanda, dan Jerman. (Rujuk Lampiran 3 dan blog beliau http://hashimyaacob. blogspot.com/2007_02_01_ archive.html). Jelas bahawa universiti kita juga boleh juga duduk dan berdiri sama tinggi sama seperti negara lain dengan keutamaan kepada bahasa Melayu dan mengakarbumikan budaya ilmu.
Oleh itu, kami para pelajar Ijazah Dasar dan Ijazah Tinggi; Alumni dan Warga Akademi Pengajian Melayu ingin menegaskan beberapa perkara seperti berikut untuk perhatian dan tindakan Datuk NC:
Penegasan Pertama
Universiti Malaya wajib mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi dan penyebaran ilmu sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang telah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan
Kecenderungan Datuk NC dalam pertemuan dan taklimat Datuk NC mengenai Raising UM Into The Rank Of Top 100 Universities In The World pada 14 Februari 2011 lalu meletakkan bahasa Inggeris sebagai satu-satunya alat mutlak untuk graduan mendapat pekerjaan dan mengejar penarafan dunia merupakan suatu premis yang salah sama sekali. Paling mengecewakan apabila Datuk NC menggesa agar pelajar bercakap dalam bahasa Inggeris sepanjang masa dan di mana-mana sahaja; mendesak Majlis Perwakilan Mahasiswa akan datang membuat program berkaitan penguasaan bahasa Inggeris serta bersetuju benar dengan pendapat seorang pelajar TESL yang meminta segala-galanya mesti dalam bahasa Inggeris dengan kata kuncinya “mentaliti mesti berubah”.
Pemilihan tajuk yang panjang dan ucapan Datuk NC yang hampir 1 jam 30 minit menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa rojak itu pun bukti Datuk NC mengkhianati dan tidak menghormati kedudukan bahasa kebangsaan negara ini. Kami ingin menegaskan bahawa mentaliti Datuk NC dan pihak yang dilihat mengagung-agungkan bahasa Inggeris mestilah berubah terlebih dahulu dengan membaca dan menghayati kaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; alat komunikasi ilmiah dan pantulan budaya seperti yang telah disampaikan oleh mantan Naib Canselor UM ke-4, Prof. Dr. Syed Hussein Alatas dalam bukunya “Intelektual Masyarakat Membangun” (2009).
Amatlah mengecewakan kami apabila Datuk NC di hadapan khalayak pelajar asing (yang majoritinya bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris) begitu menyanjung tinggi bahasa Inggeris serta menganggap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sepanjang masa adalah resepi terbaik untuk mudah mendapat pekerjaan seterusnya menaikkan kedudukan UM di mata dunia. Dalam taklimat Datuk NC selama hampir 1 jam 30 minit itu tidak sepatah pun Datuk NC menyebut kepentingan membaca sebagai kunci sebenar penguasaan bahasa Inggeris dan paling penting yang Datuk NC langsung tidak sebut ialah penguasaan ilmu!
Alangkah aibnya sebuah gedung ilmu tidak ubah seperti gedung beli-belah yang hanya mengukur kepandaian seseorang hanya dengan fasih berbahasa Inggeris tanpa menegaskan bahawa banyak faktor dan penunjuk aras yang lain bagi tujuan penilaian tersebut. Tidakkah Datuk NC sedar bahawa keterujaan melampau terhadap bahasa Inggeris sekaligus menafikan langsung peranan sumbangan ilmu yang turut ada pada bahasa Melayu merupakan suatu hal yang bercanggah sama sekali dengan pengorbanan kerajaan Malaysia dan pimpinan UM terdahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Malah, dasar kerajaan kita hari ini pun tidak menolak bahasa Melayu pada ketika mengkehendaki pelajar menguasai bahasa Inggeris.
Oleh itu, kami menyeru agar pihak pentadbiran UM kembali menjiwai semangat mencintai bahasa Melayu sepertimana bangsa di negara maju lain yang berpegang kuat pada bahasa kebangsaannya sendiri. Apa yang paling penting Universiti Malaya mesti meningkatkan jumlah pemerolehan bahan ilmiah dari seluruh dunia; meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta paling penting berperanan sebagai institusi penyebaran ilmu kepada masyarakat dan negara sebagai agen perubahan kepada persekitaran bukannya tunduk menjadi pengikut kepada kehendak atau tekanan melampau luar seperti penarafan antarabangsa dan tuntutan majikan dan pasaran.
Datuk NC perlu benar-benar membuktikan bahawa “UM sememangnya mengamalkan penggunaan bahasa Malaysia dalam semua urusan rasmi” (seperti dinyatakan dalam e-mel bertarikh 23 Februari 2011) dalam semua ucapan dan taklimat Datuk NC dan pentadbir UM; sidang mesyuarat; urusan surat-menyurat; laman sesawang rasmi UM serta segala hal berkaitan dengan urusan rasmi yang dimaksudkan. Desakan kami juga ini selari dengan semangat “Keluhuran Perlembagaan” yang terkandung dalam Rukun Negara. Apa guna Perkara 152 dalam Perlembagaan jika UM sebagai mercu gading tersohor dan hebat meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tanahairnya sendiri?
Penegasan Kedua
APM sebagai pusat ilmu dalam disiplin Bahasa Melayu, Linguistik Melayu, Kesusasteraan Melayu, Sosio-Budaya Melayu, dan Kesenian Melayu yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi tujuan penyebaran ilmu.
Kewujudan APM sebagai institusi ilmu mesti dihormati oleh semua pihak tidak terkecuali Datuk NC. Dalam pertemuan yang diwajibkan ke atas pelajar Tahun Pertama pada petang 14 Februari itu kami yang hadir berasa telah dimalukan, dihina, dan diremehkan di hadapan rakan-rakan kami dari fakulti lain dengan rumusan ‘pukul rata’ berdasarkan statistik yang diragui kesahihannya serta tidak memenuhi piawaian kajian akademik yang sebenar. Datuk NC juga seolah-olah tidak mengiktiraf kelahiran seramai 3,646 graduan Ijazah Sarjana Muda; 261 graduan Sarjana dan puluhan Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Melayu sejak tahun 1960 sehingga 2010. Walhal, mereka inilah hakikatnya turut menyumbang kepada perkembangan ilmu dan kemakmuran negara kita pada hari ini.
Lebih dahsyat lagi, tindakan Datuk NC bukan sahaja menjejaskan motivasi sebahagian generasi pelajar APM hari ini sebagai individu malah tidak keterlaluan dikatakan sebagai cubaan “membunuh” bidang Pengajian Melayu sebagai institusi ilmu yang ulung dan telah separuh abad wujud hingga menjadi ciri ikonik kepada Universiti Malaya itu sendiri. Barangkali, Datuk NC sudah lupa siapa dan dari mana Mohd Taib Osman, Ismail Hussien, Syed Muhamad Naguib, Syed Hussien Alatas, Asmah Haji Omar, Abu Bakar Hamid, Nik Safiah Karim, dan ramai lagi kepimpinan akademik yang mempelopori kecemerlangan Universiti Malaya selama ini.
Paradoksnya lagi, Datuk NC sendiri telah menafikan pengiktirafan antarabangsa terhadap bidang Pengajian Melayu pada ketika ghairah mengejar ranking universiti bertaraf dunia. Malah, buat makluman Datuk NC dengan pengiktirafan UNESCO pada tahun 1973, bidang ini menjadi bidang pengajian wilayah (area studies) yang tertumpu kepada wilayah bahasa Melayu-Polynesia. Jelas, sebelum pentadbiran Datuk NC lagi APM telah lama terbukti bergerak selari dengan hasrat pengantarabangsaan. Kini, Datuk NC juga sedia maklum bahawa APM telah banyak menandatangani perjanjian persefahamanan (MoU) dengan universiti luar negara. Tidakkah ini akan menyumbang kepada peningkatan beberapa kriteria dalam QS World University Rankings seperti yang kerap ditekankan oleh Datuk NC dalam taklimat itu?
Atas semangat ini, kami pelajar APM dan seluruh warga APM menentang dan menolak sekeras-kerasnya segala bentuk atau tindakan yang memperlekeh APM, sama ada melalui lisan mahupun bukan lisan termasuk secara psikologi terhadap institusi ini. Warga APM dan pelajar APM akan berpegang teguh kepada prinsip untuk mendaulatkan bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu tanpa meminggirkan penguasaan bahasa Inggeris.
Penegasan Ketiga
Desakan supaya Datuk NC Membuat Permohonan Maaf Secara Terbuka
Memandangkan kedudukan dan maruah pelajar APM sebagai antara pelanggan Universiti Malaya telah tercalar di hadapan khalayak fakulti lain, kami menggesa agar Datuk NC memohon maaf secara terbuka di hadapan warga APM dan pelajar APM serta mengumumkan permohonan maaf secara terbuka itu di dalam Portal Pelajar UMISISWEB dan Portal UM Staf agar dapat dibaca oleh semua warga universiti, termasuk rakan-rakan kami dari fakulti lain yang kini sudah mempunyai tanggapan yang salah terhadap Akademi Pengajian Melayu, para pelajar APM dan warganya. Tidak keterlaluan juga kami memohon Datuk NC datang memberi taklimat serupa kepada kami untuk semua pelajar Ijazah Dasar, Ijazah Tinggi, staf akademik dan sokongan APM. Ini kerana hasrat melihat UM muncul sebagai antara universiti terbaik di dunia bukan sekadar terletak di bahu pelajar Tahun 1 Ijazah Dasar sahaja.
Jika Datuk NC dengan mudah boleh bertamu di Fakulti Alam Bina pada 9 Februari dan Fakulti Sains pada keesokan harinya untuk menerangkan hal yang sama (dan mencerca APM?), mengapa sukar untuk Datuk NC mencari tarikh yang sesuai merentas Susur Panglima untuk bertandang dan menyampaikan hasrat dan isi hati Datuk NC kepada kami di sini?
Datuk NC juga harus menyatakan pendirian yang jelas terhadap Akademi Pengajian Melayu yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sebagaimana yang Datuk NC maklum, APM tetap akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam P&P dengan tidak meminggirkan bahasa Inggeris. Justeru, Datuk NC juga perlu menyatakan bagaimana pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik tanpa menganggu gugat perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Akademi Pengajian Melayu.
Kami berharap benar agar Datuk NC dapat memberi perhatian yang serius terhadap tuntutan yang terkandung dalam memorandum ini dengan melakukan permohonan maaf secara terbuka serta memperbetulkan persepsi yang salah terhadap bidang Pengajian Melayu dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja dari tarikh penyerahan memorandum ini.
Jika Datuk NC tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap memorandum ini, kami pelajar APM melalui kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi berdasarkan hak dan prinsip APM sebagai sebuah institusi ilmu yang telah lama dan terbukti berjasa melahirkan ramai modal insan cemerlang untuk tanahair tercinta terdiri daripada tokoh ilmuwan, para pemimpin negara, pegawai kerajaan, serta guru-guru yang mendidik anak bangsa di negara ini.
Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufiq Walhidayah Was salamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Diserahkan oleh wakil pelajar Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Ditandatangani oleh 340 orang pelajar, alumni dan warga Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya serta ahli Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan