Selasa, April 19, 2011

Memantap dan Memartabatkan Bahasa Melayu di Masa Depan

Bahasa Melayu (BM) telah berkembang dari bahasa ibunda (vernakular) ke lingua franca ke bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di ruang sejarah negara ini. BM menjadi alat terpenting proses pembinaan bangsa di dalam rangka perpaduan dan integrasi kebangsaan. Dari semenjak 1956 BM merupakan bahasa pengantar sekolah rendah dan sekolah menengah Melayu. Pada 1970 pula dijadikan bahasa pengantar untuk semua sekolah kebangsaan serta jenis kebangsaan dan pada 1983 disempurnakan di peringkat universiti (IPTA).

Namun perlu disedari bahawa kedudukan pencapaian BM seperti yang dinyatakan diatas, adalah usaha para pejuang dan pergerakan pertubuhan Melayu. Abdullah Munsyi di dalam Hikayatnya telah menyatakan perlu ada usaha belajar BM oleh orang Melayu pada masa itu. Raja Ali Haji pula telah berusaha memulakan kitab-kitab BM melalui Bustan-ul-Kitabin dan Kitab Pengetahuan Bahasa. Za’ba pula telah menyambung usaha berkenaan melalui Pelita BM dan Ilmu Mengarang Melayu. Walau pun disedari atau tidak, Za’ba tidak merujuk kepada usaha Raja Ali Haji. Sewaktu Kolej Melayu Melaka (1911-1921) ditubuhkan seorang pesnyarah kolej berkenaan iaitu Mohd Shah Yusuf telah menulis Senjuh Suratan untuk digunakan sebagai teks di kolej berkenaan. Usaha Za’ba kemudian disambung oleh Asmah Haji Omar di dalam Nahu Melayu Muktahir, serta akhirnya oleh Nik Safiah Karim dan rakan-rakan melalui Tatabahasa Dewan.

Dari segi buku-buku teks, tidak dinafikan peranan para penerbit yang menerbitkan pelbagai buku-buku berbahasa Melayu. Dari Pejabar Karang Mengarang di SITC, ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hinggalah ke penerbit swasta dan penerbit universiti. Penerbitan buku-buku BM bukan sahaja mengenai BM tetapi segala bidang ilmu di dalam BM; termasuk kitab-kitab agama oleh pelbagai penerbit yang muncul di awal abad ke 20 seperti di Riau, P.Pinang, Singapura, Melaka, Kelantan dan lain-lain. Tidak terkira juga segala naskah tulisan tangan yang banyak disalin di Alam Melayu di samping pelbagai penerbitan majalah, surat khabar, serta karya-karya sastera.

Dari segi pergerakan, usaha untuk memoden BM telah dipelopori oleh Pakatan Belajar dan Mengajar BM Di Raja Johor (1888). Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung yang menerbitkan Majalah Guru, Persatuan Sahabat Pena (PASPAM), ASAS 50 menyambung peranan meletakkan asas-asas kukuh perjuangan BM dan persuratan Melayu. Para inteligensia Melayu mengadakan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu untuk meletakkan lanskap BM, persuratan dan kebudayaan Melayu di dalam sebuah negara yang bakal merdeka dan berdaulat. Perjuangan BM, persuratan dan kebudayaan Melayu dilanjutkan oleh PENA (1960), GAPENA (1970) dan lain pertubuhan pada masa itu dan masa kini.

Di peringkat institusi pula, selain dari Kolej Melayu Melaka (1911-1921), Sultan Idris Teachers Training Collage (SITC) pada 1921, Malay Women Teachers Training Collage (MWTC) pada 1935, Jabatan Pengajian Melayu (1953), kemudian dinaik-taraf kepada Akademi Pengajian Melayu (1992), Maktab Bahasa (1958) di Bukit Senyum, kemudian di Lembah Pantai (1959), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970. Semuanya di dalam kerangka menjadikan BM, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu sebagai usaha pendidikan dan pengajian serta menjadikan tapak pembinaan BM sebagai bahasa ilmu. UKM adalah kemuncak kepada peranan sebuah institusi untuk pembinaan tersebut.

BM sebagai satu science of knowladge bermula bukan sahaja melalui usaha Raja Ali Haji, Za’ba, tetapi juga munculnya ilmuan dan ahli akademik yang berwibawa dari segi kesarjanaan dan keintelektualan. Para ilmuan seperti Yunus Maris, Asmah Omar, Nik Safiah, Abdullah Hassan, Raja Mukhtaruddin Dain, Farid Onn, Hamid Mahmud, Mashudi Kader, Hashim Musa, Awang Sariyan dan lain-lain telah memberi sumbangan besar kepada pembinaan BM sebagai satu science of knowledge itu.

Akta Perundangan

Payung terbesar dari segi perundangan ialah peruntukan yang terdapat di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang mengkanun kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia. Peruntukan ini menegaskan BM digunakan di semua peringkat rasmi, khasnya di dalam pemerintahan dan pentadbiran bagi semua negeri di dalam Persekutuan. Ini juga meliputi seluruh saluran komunikasi serta penyiaran rasmi kerajaan sama ada radio, televisyen dan apa jua rangkaian yang sehubungan dengannya. Oleh kerana itu, setiap penyiaran dan pengumuman rasmi oleh semua peringkat kepimpinan eksekutif dan birokrasi mestilah di dalam BM.

Sehubungan dengan peruntukan Perkara 152, terdapat juga Akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 1967, yang disemak dalam 1971 kemudian dikenali Akta A554, Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan dan Perluasan 1983), yang mengandungi undang-undang terpinda sebagaimana berkuat-kuasa pada 15 Julai 1983. Akta ini menegaskan bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud rasmi. Akta ini di dalam Perkara 9, memperuntukan tulisan bahasa bahasa kebangsaan adalah tulisan rumi, tetapi tidak melarang penggunaan tulisan Jawi. Melalui pindaan dan perluasan 1983, segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris.

Di bahagian awal Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah dicatatkan bahawa dasar pendidikan kebangsaan memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Akta yang sama di dalam Perkara 17 menegaskan bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa-bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 18 atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri daripada subseksyen ini.

Di dalam kerangka ini saya berpendapat bidang pengajian tinggi awam juga tidak boleh bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Yang amat menghairankan ialah adanya IPTA yang secara disedari telah dengan berani mengendalikan kuliah dalam bahasa Inggeris. Alasan yang diberikan kerana PPSMI. Isu memberi kuliah di dalam bahasa Inggeris sudah berlaku semenjak 1992 apabila Perdana Menteri Mahathir pada masa itu berusaha untuk melonggarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan di IPTA. Sekarang ini, semakin berleluasa apabila ramai pelajar antarabangsa belajar di pelbagai fakulti di IPTA.

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pada beberapa tahun lalu (2007), telah diarahkan oleh Naib Canselor Rafiah Salim untuk menukar bahasa pengantar ke bahasa Inggeris. Mulai 2008, 30 peratus dari kursus-kursus ditukar ke Bahasa Inggeris, dan pada 2010 sebanyak 80 peratus. Semua ini di dalam kerangka untuk mengejar KPI Pengantarabangsaan. Alhamdulillah dengan segala hujah akhirnya mendapat pengecualian. Isu pengantarabangsaan ini akan menjejaskan kedudukan BM di IPTA.

Di sudut yang lain terdapat satu institusi yang amat penting di dalam usaha memantapkan BM, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP yang ditubuhkan pada 1956, melalui Ordinan No. 25, 1959, dikenali Akta 213, Akta 930, Akta DBP (Pindaan dan Perluasan 1995). DBP ditubuhkan dengan tujuan untuk membangun bahasa kebangsaan dan kesusasteraan kebangsaan serta penerbitan di dalam bahasa kebangsaan. Bukan sahaja DBP bertujuan meperjuangkan tujuan berkenaan, Lembaga Pengelola DBP juga mempunyai tugas atau tujuan yang sama; seperti yang dicatat di dalam Perkara 5, (i) untuk memperkembang, memperkayakan bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi, (ii) untuk memperkembangkan bakat sastera khasnya dalam bahasa kebangsaan, (iii) untuk mencetak dan menerbit buku-buku, majalah-majalah, dalam bahasa kebangsaan, (iv) menstandardisasikan ejaan dan sebutan dan membentuk istilah-istilah akademik yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.

Peranan DBP bukan sekadar untuk membina dan memperkayakan BM, tetapi berusaha untuk mempertingkat kedudukan BM sebagai bahasa ilmu. DBP bukan sekadar menerbitkan buku-buku ilmu di dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi tetapi berusaha menuntut peranan dan kerjasama dari semua tenaga akademik di dalam akademia.

Di samping DBP, terdapat satu lagi agensi kerajaan yang melaksanakan dasar kebangsaan iaitu Pihak Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bidang kuasa PBT tertakluk kepada Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang mengandungi segala pindaan hingga Januari 2006. Perlaksanaan Akta ini berhubung bahasa kebangsaan tidak boleh bercanggah dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Perlaksanaan bahasa kebangsaan meliputi nama jalan, bangunan, dan taman perumahan serta lain-lain premis; dan papan tanda iklan.

Cabaran

Cabaran utama BM sebagai bahasa kebangsaan apabila berhadapan dengan multi-lingualism. Peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tidak menghalang penggunaan bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa ibunda, (vernakular) yang diamalkan di negara ini. Perlembagaan tidak menghalang penggunaan dan amalan multi-linguality di negara ini. Hatta pembelajaran bahasa ibunda jika cukup syarat juga tidak dihalang oleh Akta Pendidikan. Wujudnya sekolah Cina dan Tamil atau Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil juga tidak dihalang berbanding di negara jiran.

Cabaran yang dihadapi ialah apabila terdapatnya pihak yang tidak mahu menerima guru-guru bukan Cina untuk mengajar BM di sekolah jenis kebangsaan; atas alasan bahawa guru-guru BM hendaklah menguasai bahasa Cina. Ini bermakna pihak berkenaan secara halus menolak perlaksanaan bahasa kebangsaan dan mengutamakan dwi-bahasa; malah pengajaran BM di sekolah berkenaan tidak dalam BM tetapi di dalam bahasa Cina. Tindakan sedemikian akan melambatkan dan mengurangkan daya kefasihan para pelajar di dalam BM. Dengan daya kefasihan yang amat sederhana akan mengurangkan proses interaksi antara kaum intuk mencapai perpaduan nasional.

Persoalan multi-lingualism yang selama ini dibangkitkan oleh beberapa pihak dituntut atas kepentingan pendemokrasian dan hak asasi manusia. Tanpa mereka sedari bahawa ruang dan lanskap yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan dan perlaksanaan di negara ini adalah demokratis dan sudah memenuhi tuntutan hak asasi manusia. Terdapat negara jiran yang menghapuskan sekolah Cina lantaran kekhuatiran terhadap ideologi komunisme. Sekarang ini pula menutup sekolah Melayu kerana mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan lambang pemodenan.

Seperti yang disinggung di atas, cabaran selanjutnya menjadikan BM sebagai bahasa ilmu di dalam semua bidang. Usaha untuk menggagalkan ini sudah dilakukan semasa perlakasanaan PPSMI pada 2002. Penyakit ini telah menular ke IPTA dan sudah meluas di IPTS. Atas nama multilingualism juga akan mengagalkan perlaksanaan BM sebagai bahasa ilmu, lantaran ada yang khuatir berlanjutnya “hegemoni Melayu”. Ada pihak pentadbiran IPTA yang mahu mendaki tangga ranking universiti-universiti di dunia, maka persoalan penerbitan dan citation di dalam jurnal ISI; pengantarabangsaan fakulti dan pelajar menjadi sasaran. Usaha-usaha sedemikian juga akan memperlahankan usaha menjadikan BM sebagai bahasa ilmu. Cakrawala pengilmuan dan keilmuan dalam BM tidak akan tercapai, BM cuma sekadar bahasa sekolah rendah dan menengah di kampung-kampung sahaja.

Perlu disedari bahawa pendidikan pengajian tinggi dan ilmu pengetahuan sudah merupakan satu industri. Pemerintah mungkin akan mengurangkan beban perbelanjaan di dalam bidang ini. Mengantarabangsakan IPTA tempatan adalah langkah yang paling sederhana mudah untuk mendapatkan pendapatan. Di dalam kerangka ini BM cuma jadi satu mata pelajaran wajib untuk para pelajar, tidak sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Pengajian tinggi sebagai satu industri akan memerangkap IPTA di dalam kancah kapitalisme. Kapitalisme juga akan digunakan sebagai alasan untuk memberi otonomi kepada IPTA mengurus dana belanjawan tahunan. Kemungkinan besar ruang fizikal IPTA akan dimajukan untuk menjana pendapatan supaya otonomi berkekalan kerana mahu mengurangkan subsidi ke atas pendidikan tinggi.

Di sudut lain pula industri dan pasar (market) pula telah menentukan warna dan citra serta penampilan para graduan untuk direkrut ke dalam industri. Bahasa Inggeris mungkin juga bahasa Cina menjadi syarat utama. Pasar dan industri yang menentukan. Sehingga kini pihak swasta malah syarikat-syarikat milik kerajaan belum lagi melaksanakan BM di dalam pengurusan seharian mereka. Nilai ekonomi BM menjadi persoalan, begitu juga nilai ekonomi keluaran IPTA. Anak-anak kampung menjadi mangsa di dalam persaingan “kalah-mati” liga super institut pendidikan tinggi.

Disedari atau tidak usaha-usaha transformasi ekonomi negara ini juga akan memberi cabaran yang amat besar kepada BM. Usaha kerajaan untuk membawa bakat-bakat terbaik Malaysia melalui Talent Coporation, turut juga akan menjejaskan peluang lulusan IPTA tempatan di dalam dunia pekerjaan. Jaguh –jaguh kampung akan berhadapan bakat-bakat yang sudah diantarabangsakan. Persoalan handicapped akan berlanjutan lagi.

Penutup

Adalah amat wajar untuk kita renungi bersama apakah tindakan yang boleh Sekretariat Pengajian Sastera dan Bahasa Melayu Universiti-Universiti di Malaysia (SPESBAM) lakukan. Saya ingin mengajak semua yang terlibat untuk bersama-sama mengambil tindakan bersatu dan bersepadu menghadapi cabaran-cabaran di atas. Jika kita tidak berhati-hati seluruh pusat pengajian sastera dan bahasa Melayu akan diperkecilkan sebagai service department atau ditutup akhirnya.

Dari pengalaman Akademi Pengajian Melayu dan resolusi Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia pada 2009 di Johor Bahru, anjuran Akademi Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa UPSI, DBP, dan Yayasan Warisan Johor; maka saya ingin mencadangkan satu sekretariat atau jawatankuasa kebangsaan bersama mengantarabangsa BM di dunia. APM kini memfokuskan pengantarabangsaan BM di China dan Thailand. Adalah difahamkan bahawa terdapat 160 Pusat Pengajian Melayu dan Indonesia di dunia. APM tidak mampu untuk merealisasikan usaha ini secara sendirian. USM sudah ada hubungan yang mantap dengan universiti-universiti di German, dan secara bersama dapat diperluaskan keseluruh Eropah, Rusia, dan lain-lain wilayah. SPESBAM juga perlu berkerjasama dengan IPTA/ IPTS di Indonesia dan Brunei untuk memperluaskan peranan BM sebagai bahasa antarabangsa.

Kita tidak mampu menghadapi persaingan yang semakin hebat ini. Bersama-sama kita memikirkan bidang ilmu BM dapat diperluaskan bukan sekadar persoalan tatabahasa tetapi mencari ruang yang applied dan hands on yang membolehkan para graduan berfikiran praktis, kerana tidak ramai yang ke universiti kerana ilmu semata-mata, tetapi untuk pekerjaan dan kerjaya. Dari sudut yang lain kita perlu berusaha mengekal dan mempertahankan martabat BM di negara ini. Kita perlu meyakinkan pihak yang memerintah bahawa apabila segala ilmu diajar di dalam BM akan memudahkan proses pemahaman dan pentaakulan maka akan mempercepatkan segala proses kemajuan.

Oleh: Zainal Abidin Borhan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan