Rabu, April 13, 2011

Akhbar dan Rakyat

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penyebaran video seks pemimpin kanan pembangkang. Ternyata video seks itu telah tersebar dan telah dimuat turun di laman 'You Tube' walau pun tidak secara penuh. Melihat situasi ini, banyak akhbar mengambil kesempatan untuk menyiarkan berita video seks pemimpin kanan pembangkang ini. Terutamanya akhbar-akhbar pro kerajaan yang mengambil kesempatan untuk memburukkan ahli politik yang terlibat walau pun masih dalam siasatan. Sehinggakan terdapat akhbar yang menyiarkan isu ini sehingga mengambil sebahagian daripada bahagian akhbar tersebut.

Saya bukanlah berpihak kepada pembangkang dan bukanlah bersifat tidak menyokong kerajaan, tetapi rasa kurang senang apabila melihat akhbar tempatan terlalu taksub dengan isu ini sehinggalah meminggirkan isu-isu lain termasuklah yang berkaitan dengan rakyat. Adalah lebih baik sekiranya akhbar tempatan tidak terlalu bercakap tentang isu video seks ini, kerana bagi saya ia lebih memburukkan Malaysia dan tanggapan negatif masyarakat luar kepada rakyat kita sendiri. Banyak lagi isu-isu yang lebih penting berkaitan rakyat yang perlu kita fikirkan, dan bukan hanya 'dimomokkan' dengan cerita-cerita video seks ini. Rasa mual dalam diri saya ini apabila melihat keratan-keratan akhbar menyiarkan beberapa adegan dalam video tersebut, dan bagaimanalah reaksi anak-anak muda kita sekiranya melihat semua ini?. Adakah negara ini melahirkan generasi yang berasaskan kepada 'simbol' seks semata-mata?.

Diharap akhbar tempatan berhentilah menyiarkan isu berkaitan video seks ini dan tumpulah kepada masalah rakyat yang terlalu banyak untuk diperkatakan. Rakyat bukan 'bodoh' malah bijak dalam memilih di antara kebenaran dan kepalsuan. Berilah peluang kepada pihak polis untuk menyiasat dan bersama-samalah kita tunggu hasil siastan pihak polis. Tumpukan kepada hal-hal yang berkaitan rakyat dan bukan ahli politik semata-mata. Rasa sedih melihat bangsa kita semakin berpecah belah sedangkan bangsa lain semakin kukuh. - Aduhai Bangsaku...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan