Bible atau Al-Kitab di dalam bahasa Melayu telah dibenarkan untuk dibaca oleh para penganut Kristian di Sarawak dan Sabah, mungkin juga di Semenanjung. Tahap literasi bahasa Melayu sudah meningkat sehingga memerlukan kitab berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu. Lazimnya terdapat Al-Kitab berbahasa Inggeris di kamar hotel-hotel berbintang di Malaysia. Parent Action Group for Education (PAGE) yang berpusat di Bukit Damansara pula menuntut supaya PPSMI dikekalkan. Satu paradoks. Satu pihak mahukan bahasa Melayu, malah menggunakan perkataan Allah atas kepentingan penyebaran agama, yang satu berterusan mahukan bahasa Inggeris atas kepentingan kemajuan masa depan anak-anak mereka. Manakala pihak Dong Jia Zong mahu terus kekal diajar dalam bahasa ibunda.
Di seluruh dunia apabila sesebuah negara mencapai kemerdekaan dan berdaulat, ada beberapa tindakan yang dilakukan iaitu pembinaan negara bangsa, perpaduan, nasional dan politik, serta pembangunan kemajuan ekonomi. Pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional digembeling untuk mewujudkan identiti, jati diri dan perwatakan kebangsaan. Bahasa kebudayaan hatta agama serta segala bentuk, ciri, sifat, sistem nilai dan warisan dijadikan instrumen perpaduan. Negara-negara yang mengekalkan institusi raja dan kesultanan meletakkan institusi berkenaan sebagai lambang perpaduan dan payungan berteraskan perlembagaan.
Semenjak Persekutuan Malaysia merdeka segala wadah dan wahana identiti kebangsaan sudah mantap dan terkanun atau termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta segala dasar yang sehubungan dengannya. Isu bahasa khasnya penggunaan bahasa pengantar di sekolah nampaknya tidak kunjung selesai apabila dipolitikan dan digunakan sebagai tuntutan hak dan keistimewaan. Bahasa pengantar yang mengguna bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) sering dicabar oleh pihak yang mahu mengekalkan bahasa sukuan dan kauman. Pengajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan ditetapkan dan dituntut supaya guru-guru hendaklah dari keturunan tertentu tidak dari penutur asli bahasa ibunda bahasa Melayu.
PPSMI kini mencetuskan polemik yang tidak kunjung selesai, malah menimbulkan reaksi yang pelbagai apabila Perdana Menteri menyebut di kalangan sahabat Facebook di Pulau Pinang, bahawa kemungkinan kerajaan akan mengkaji cadangan PPSMI diajar di dalam dua bahasa pengantar. PAGE dan beberapa akhbar berbahasa Inggeris mula mencanangkan isu bilingualism untuk PPSMI sebagai jalan keluar terbaik, suatu situasi menang-menang, yang tidak semestinya terbaik.
Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) bersama-sama 48 pertubuhan Melayu juga GAPENA membantah sekeras-kerasnya akan cadangan berkenaan. Lulus jarum lulus kelindan, bermula dari PPSMI, maka akan ada pula cadangan untuk multilingualism di sekolah-sekolah. Identiti nasional yang berteraskan kepada seluruh wadah dan wahana kebangsaan akan hancur luluh, diluluh-lantakkan oleh kepentingan kelompok minoriti. Bahasa sebagai simbol perjuangan kebangsaan, perpaduan kebangsaan yang berteraskan semangat kebangsaan tidak lagi mempunyai apa-apa makna. Ia akan terakam sebagai satu sejarah yang dikalahkan oleh kepentingan praktis dan material kehidupan manusia.
Para pejuang bahasa sekeras-kerasnya menolak PPSMI tetapi tidak menolak peri pentingnya bahasa Inggeris. Mereka memikirkan kepentingan bangsa dan negara bukannya kepentingan sekelompok kecil elit dan klas atasan. Ditimbulkan persoalan ini bukannya para pejuang bahasa anti-klas tetapi khuatir ada pihak yang akan mengguna isu ini di dalam kerangka kepentingan politik. Secara khususnya pembesaran klas menengah Melayu disebabkan oleh Perlaksanaan Dasar Bahasa Kebangasaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Semakin ramai klas teknokrat, korporat dan birokrat Melayu adalah disebabkan kedua-dua dasar tersebut, walau pun dari segi jumlah klas ini masih kecil berbanding klas yang sepertinya di kalangan bukan Melayu. Amat dikhuatirkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengucapan klas birokrat, teknokrat dan korporat Melayu di bandar seperti Bukit Damansara dan kawasan-kawasan sepertinya, berbanding majoriti rakyat di luar bandar yang terus berbahasa Melayu. Maka bahasa Inggeris untuk klas atasan Melayu manakala bahasa Melayu untuk klas bawahan Melayu. Bahasa Melayu akan terus dipandang kampungan, penuh kekolotan dan tradisional. Satu jurang kebudayaan yang tidak molek dalam kerangka perpaduan Melayu. Bukan sahaja berlaku susunlapis dari segi sosial dan ekonomi, malah dari segi bahasa, kembali ke fenomena zaman kolonial dan pra-merdeka. Padang sosial akan terus tidak rata, akan sukar untuk mencapai keadilan sosial, walau pun sesama Melayu, apatah lagi dengan bukan-Melayu.
Seandainya isu PPSMI kembali dipolitikkan dan pihak yang menakhodai zaman tidak bijak mengurusnya, manakala parti politik Melayu yang dominan seperti UMNO sepi pula untuk memberikan reaksi, kemungkinan parti politik pembangkang Melayu lain akan mengutipnya mewadahi perjuangan politik mereka untuk PRU 13 akan datang. Faktor jurang kebudayaan ini boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik. Sekirannya agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tidak direalisasi secara konkrit, maka masalah juga akan muncul. Pengumuman membolehkan PPSMI dalam dua bahasa pengantar sedikit sebanyak merupakan kemenangan politik kepada PAGE. Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak merupakan kepentingan politik? Apakah kepentingan rakyat terbanyak tidak didahulukan?
Sewajarnya kita belajar dari pengalaman negera-negara lain di dunia untuk memahami betapa perlunya proses pembinaan negara bangsa melalui bahasa. Orang Turki, Kurdi dan Arab memiliki bahasa yang hampir sama, tetapi lantaran kepentingan politik mereka saling berusaha untuk menidakkan antara satu sama lain, sehingga orang Kurdi bertempiaran di seluruh dunia. Begitu juga orang Serbia, Croatia, dan Bosnia yang menggunakan bahasa yang sama, lantaran perbedaan agama, Serbia Ortodoks Kristian, Croatia Katoliks dan Bosnia Islam, maka runtuhlah Yugoslavia, melahirkan negara Serbia, Croatia dan Bosnia. Bahasa Hebrew atau Ibrani telah lama pupus. Ia adalah bahasa Kitab Zabur dan Taurat. Tetapi Israel menghidupkan kembali bahasa Ibrani tersebut dengan pelbagai tindakan dan pendekatan termasuk menubuhkan Dewan Bahasa, maka bahasa Ibrani memberikan identiti, menyatu-padukan orang Israel sehingga memberi kekuatan mahu menghapuskan Arab Palestin.
Dari pengalaman tersebut bahasa boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu negara, tetapi adalah amat diharapkan isu PPSMI ini tidak terjerumus ke lembah konflik. Pihak pemerintah telah mengemukakan MBMMBI, maka perlaksanaan MBMMBI perlu disegerakan dan tidak wajar PPSMI dikaji semula atau dilaksanakan dalam apa jua bentuk. Sudah hampir 54 tahun negara ini merdeka tetapi kita masih tidak dapat membereskan isu seperti ini sebagai wahana pembinaan negara bangsa. Dari semenjak Dasar Pelajaran Razak, terdapat pandangan dan usaha untuk menolak kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pelajaran. Banci 2010 telah membuktikan bahawa 67% penduduk negara ialah Melayu-Bumiputera. Apakah Melayu-Bumiputera yang majoriti ini perlu ditentukan nasib nasib masa depannya oleh kelompok yang minoriti. Sebagai bahasa kelompok majoriti sudah tentu secara semulajadi bahasa Melayu wajib menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah malah di IPTA juga. Sekarang ini bukan sekadar isu PPSMI yang bakal berulang, tetapi juga atas nama pengantarabangsaan hampir kesemua IPTA mengguna bahasa Inggeris di fakulti-fakulti yang berteraskan sains dan teknologi. Pihak yang bertanggungjawab turut menyepi membiarkan fenomena ini berlaku, seolah-olah bahasa Melayu tidak layak sebagai bahasa pengantar di IPTA. Maka seluruh umat Melayu yang cintakan watannya, yang kasihkan pertiwinya hendaklah mempastikan bahasa Melayu terus mekar bukan sekadar sebagai bahasa pengantar, bahasa perpaduan antara kaum, tetapi terus meningkat sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Di sudut lain anak-anak Melayu perlu juga menguasai bahasa Inggeris, hatta bahasa Mandarin, Urdu, dan Hindi, Arab dan lain-lain sebagai persediaan untuk memasuki pasaran dan alam antarabangsa. Amat diakui bahasa Inggeris penting, tetapi penting juga mempelajari bahasa-bahasa antarabangsa lain. Mempelajari bahasa Inggeris tidak semestinya melalui PPSMI sahaja. Pendekatan dan kaedah yang ditetapkan oleh MBMMBI amat memadai untuk mempertingkatkan keterampilan berbahasa Inggeris di kalangan para pelajar sekolah. Seandainya PPSMI diberi muka, amat dikhuatirkan telah disamakan dengan Malaysian-Malaysia akan berleluasa.
Kenyataan ini amat menyedari akan kelangsungan bahasa-bahasa suku, puak dan kaum-kaum lain seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Banci 2010 juga menunjukkan peningkatan jumlah bukan warganegara, namun kenyataan di atas tidak menghalang mereka terus menggunakan bahasa mereka, tetapi sebagai bukan warganegara yang berdomisil di Malaysia mereka perlu belajar bahasa kebangsaan Persekutuan Malaysia. Kita tidak mahu ada kelompok yang terus mengasingkan diri dari kelompok majoriti. Pengasingan budaya melalui bahasa amat membahayakan.
Apakah keutamaan kita dalam menakhodai zaman khasnya masa depan. Persoalan penerimaan dan keterangkuman dikemukakan untuk perpaduan. Nilai-nilai teras untuk perpaduan digandingkan dengan nilai-nilai aspirasi menjadikan negara berprestasi tinggi dari segi ekonomi, tetapi perpaduan dan identiti kebangsaan yang menyatukan kita semua melalui bahasa kebangsaan. Negara dan bapak-bapak kemerdekaan serta pembangunan, melalui peruntukkan Perlembagaan dan segala dasar-dasar kebangsaan, cerdik, dan bijak menggandingkan seluruh dinamika kebudayaan, ekonomi dan politik. Janganlah isu PPSMI diulang kembali untuk memusnahkan segala harapan untuk mencapai kemajuan, kesejahteraan, keamanan, masa depan rakyat terbanyak dan negara, maka berjiwa besarlah untuk mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak. - Oleh: Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan
Utusan Malaysia : 25 / 04 / 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan